Jumaat, 4 Mac 2011

RABI'ATUL 'ADAWIYYAH

Ibu bapa Rabi'atul 'Adawiyyah adalah orang miskin. Hinggakan di dalam rumah mereka tiada minyak untuk memasang lampu dan tiada kain untuk membalut badan beliau. Beliau ialah anak yang keempat. Ibunya menyuruh ayahnya meminjam minyak dari jiran. Tetapi bapa beliau telah membuat keputusan tidak akan meminta kepada sesiapa kecuali kepada Allah. Bapa itu pun pergilah berpura-pura ke rumah jiran dan perlahan-lahan mengetuk pintu rumah itu agar tidak didengari oleh orang dalam rumah itu. Kemudian dia pun pulang dengan tangan kosong. Katanya orang dalam rumah itu tidak mahu membuka pintu.

Pada malam itu, si bapa bermimpi yang ia bertemu dengan Nabi. Nabi berkata kepadanya, "Anak perempuanmu yang baru lahir itu adalah seorang yang dikasihi Allah dan akan memimpin banyak orang Islam ke jalan yang benar. Kamu hendaklah pergi berjumpa amir Basrah dan beri dia sepucuk surat yang bertulis. Kamu hendaklah berselawat kepada Nabi seratus kali tiap-tiap malam dan empat ratus kali tiap-tiap malam Jumaat. Tetapi oleh kerana kamu tidak mematuhi peraturan pada hari Khamis lalu, maka sebagai dendanya kamu hendaklah membayar kepada pembawa surat ini empat ratus dinar."

Bapa Rabi'atul 'Adawiyyah pun terus terjaga dari tidurnya dan pergi berjumpa dengan amir tersebut, dengan air mata kesukaan mengalir di pipinya. Amir sungguh berasa gembira membaca surat itu dan memahami bahawa beliau ada dalam perhatian Nabi. Amir pun memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak seribu dinar dan dengan gembira memberi bapa Rabi'atul 'Adawiyyah sebanyak empat ratus dinar. Amir itu meminta supaya bapa Rabi'atul 'Adawiyyah selalu mengunjungi beliau apabila memerlukan sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang yang hampir dengan Allah.

Selepas bapanya meninggal dunia, Basrah dilanda kebuluran. Rabi'atul 'Adawiyyah berpisah daripada adik-beradiknya. Suatu ketika, kabilah yang beliau tumpangi itu telah diserang oleh penyamun. Ketua penyamun itu menangkap Rabi'atul 'Adawiyyah untuk dijadikan barang rampasan untuk dijual ke pasar sebagai hamba abdi. Maka lepaslah ia ke tangan tuan yang baru.

Suatu hari, tatkala beliau pergi ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Beliau lari, tetapi malang, kakinya tergelincir dan jatuh. Tangannya patah. Beliau berdoa kepada Allah, "Ya Allah! Aku ini orang yatim dan abdi. Sekarang tanganku pula patah. Tetapi aku tidak peduli segala itu asalkan Kau redha denganku. Tetapi nyatakanlah keredhaan-Mu itu padaku." Tatkala itu terdengarlah suatu suara malaikat, "Tidak mengapa semua penderitaanmu itu. Di hari akhirat kelak kamu akan ditempatkan di peringkat yang tinggi hinggakan Malaikat pun kehairanan melihatmu." Kemudian pergilah ia semula kepada tuannya. Selepas peristiwa itu, tiap-tiap malam ia menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah, selepas melakukan kerja-kerjanya. Beliau berpuasa berhari-hari.

Suatu hari, tuannya terdengar suara rayuan Rabi'atul 'Adawiyyah di tengah malam yang berdoa kepada Allah, "Tuhanku! Engkau lebih tahu bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa. Jikalau aku bebas, aku akan menghabiskan seluruh masa malam dan siangku dengan melakukan ibadat kepada-Mu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia."

Ketika itu dilihat oleh tuannya suatu pelita yang bercahaya terang tergantung di awang-awangan di dalam bilik Rabi'atul 'Adawiyyah dan cahaya itu meliputi seluruh biliknya. Ketika itu juga tuannya berasa adalah berdosa jika tidak membebaskan orang yang begitu hampir dengan Tuhannya. Sebaliknya tuan itu pula ingin menjadi khadam kepada Rabi'atul 'Adawiyyah. Esoknya, Rabi'atul 'Adawiyyah pun dipanggil oleh tuannya dan diberitahunya tentang keputusannya hendak menjadi khadam itu dan Rabi'atul 'Adawiyyah bolehlah menjadi tuan rumah atau pun jika ia tidak sudi bolehlah ia meninggalkan rumah itu. Rabi'atul 'Adawiyyah berkata bahawa ia ingin mengasingkan dirinya dan meninggalkan rumah itu. Tuannya bersetuju.

Suatu masa Rabi'atul 'Adawiyyah menunaikan haji ke Mekkah. Dibawanya barang-barang di atas seekor keldai yang telah tua. Keldai itu mati di tengah jalan. Rakan-rakannya bersetuju hendak membawakan barang-barangnya itu tetapi beliau enggan kerana katanya dia menunaikan haji bukan di bawah perlindungan sesiapa. Hanya perlindungan Allah S.W.T. Beliau pun tinggal seorang diri di situ. Rabi'atul 'Adawiyyah terus berdoa, "Oh Tuhan sekalian alam, aku ini keseorangan, lemah dan tidak berdaya. Engkau juga yang menyuruhku pergi mengunjungi Ka'abah dan sekarang Engkau matikan keldaiku dan membiarkan aku keseorangan di tengah jalan." Serta-merta dengan tidak disangka-sangka keldai itu pun hidup semula. Diletaknya barang-barangnya di atas keldai itu dan terus menuju Mekkah. Apabila hampir ke Ka'abah, beliau pun duduk dan berdoa, "Aku ini hanya sekepal tanah dan Ka'abah itu rumah yang kuat. Maksudku ialah Engkau temui aku dengan sebarang perantaraan." Terdengar suara berkata, "Rabi'atul 'Adawiyyah, patutkah Aku tunggangbalikkan dunia ini keranamu agar darah semua makhluk ini direkodkan dalam namamu dalam suratan takdir? Tidakkah kamu tahu Nabi Musa pun hendak melihatKu? Aku sinarkan cahayaKu sedikit sahaja dan dia jatuh pengsan dan Gunung Sinai runtuh menjadi tanah hitam."

Suatu ketika yang lain, semasa Rabi'atul 'Adawiyyah menuju Ka'abah dan sedang melalui hutan, dilihatnya Ka'abah datang mempelawanya. Melihatkan itu, beliau berkata, "Apa hendakku buat dengan Ka'abah ini? Aku hendak bertemu dengan tuan Ka'abah (Allah) itu sendiri. Bukankah Allah juga berfirman iaitu orang yang selangkah menuju Dia, maka Dia akan menuju orang itu dengan tujuh langkah? Aku tidak mahu hanya melihat Ka'abah, aku mahu Allah."

Pada ketika itu juga, Ibrahim bin Adham dalam perjalanan menuju ke Ka'bah. Sudah menjadi amalan beliau mengerjakan solat pada setiap langkah sepanjang perjalanan itu. Oleh sebab itu, beliau mengambil masa selama empat belas tahun untuk sampai ke Ka'bah. Apabila tiba di sana, didapatinya Ka'bah tiada. Beliau berasa sangat hampa. Lalu terdengar olehnya satu suara yang berkata, "Ka'bah itu telah pergi melawat Rabi'atul Adawiyyah."

Apabila Ka'bah itu telah kembali ke tempatnya, Rabi'atul Adawiyyah kelihatan sedang menongkat badannya yang tua itu dengan tongkatnya. Maka Ibrahim Adham pun pergi menemui Rabi'atul Adawiyyah dan berkata "Kenapa kamu dengan perbuatanmu yang ganjil itu membuat haru-biru dunia ini?" Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Saya tidak membuat suatu apapun sedemikian itu, tetapi kamu dengan sikap riyak menuju ke Ka'bah mengambil masa empat belas tahun. Kamu isi perjalananmu itu dengan solat, tetapi aku mengisinya dengan perasaan tawaduk dan khusyuk."

Tahun kemudiannya, sekali lagi Rabi'atul Adawiyyah menuju ke Ka'bah. Beliau berdoa, "Oh Tuhan, perlihatkanlah diriMu padaku." Beliau berguling-guling di atas tanah dalam perjalanan itu. Terdengar suara, "Hati-hatilah! Jika Aku perlihatkan diriKu kepadamu, kamu akan menjadi abu." Rabi'atul-adawiyyah menjawab, "Aku tidak berdaya memandang keagungan dan kebesaranMu. Oleh itu, kurniakanlah kepadaku kefakiran yang mulia di sisiMu." Terdengar lagi suara berkata, "Kau tidak sesuai dengan itu. Kemuliaan seperti itu dikhaskan untuk lelaki yang memfanakan diri mereka semasa hidup mereka kerana Aku. Antara Aku dan mereka tiada regang walau sebesar rambut pun. Aku bawa mereka sangat hampir kepadaKu. Kemudian Aku jauhkan mereka, apabila mereka berusaha untuk mencapai Aku. Rabi'atul-adawiyyah, antara kau dan Aku terdapat lagi tujuh puluh hijab. Hijab ini mestilah dibuang dulu. Kemudian dengan hati yang suci , menghadaplah Aku. Sia-sia sahaja kamu meminta pangkat fakir dariKu."

Kemudian suara itu mengarahkan Rabi'atul Adawiyyah melihat ke hadapan. Dilihatnya semua pandangan telah berubah. Dilihatnya perkara yang luar biasa. Di awang-awangan ternampak lautan darah yang berombak kencang. Terdengar suara lagi, "Inilah darah yang mengalir dari mata mereka yang mencintai Tuhannya dan tidak mahu berpisah denganNYA. Meskipun mereka diduga, namun mereka tidak berganjak seinci pun dari jalan itu dan tidak pula meminta sesuatu Dalam langkah permulaan perjalanan itu, mereka mengatasi semua nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka beruzlah dari dunia hingga tiada sesiapa pun yang mengenali mereka. Begitulah mereka itu tidak mahu masyhur di dunia ini." Mendengar itu, Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Tuhanku, biarkan aku tinggal di Ka'abah!" Ini pun tidak diberi kepada beliau. Beliau dibenarkan kembali ke Basrah dan menghabiskan umurnya di situ dengan memencilkan diri daripada orang ramai.

Suatu hari, Rabi'atul Adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu ketibaan seorang darwisy untuk makan bersama-samanya. Beliau meletakkan dua buku roti yang dibuatnya itu di hadapan darwisy itu. Darwisy itu terkejut kerana tiada lagi makanan untuk Rabi'atul Adawiyyah. Tidak lama kemudian, dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada Rabi'atul Adawiyyah. Dia menyatakan tuannya yang menyuruh dia membawa roti itu kepada Rabi'atul Adawiyyah. Beliau bertanya tentang berapa ketul roti yang dibawa itu dan tidak mahu menerima roti itu. Disuruhnya kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pun pergi, tetapi kemudian kembali semula. Rabi'atul Adawiyyah menerima roti itu selepas diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti yang dibawa perempuan itu. Darwisy itu bertanya akan hal tersebut. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, Allah berfirman dalam Al-Quran iaitu : "Orang yang memberi dengan nama Allah, maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam al-Quran itu dilaksanakan."

Suatu ketika, Rabi'atul Adawiyyah sedang menyediakan makanan. Teringat beliau bahawa telah kehabisan sayur. Tiba-tiba jatuh bawang dari bumbung. Lalu disepaknya bawang itu sambil berkata, "Syaitan, pergi jahanam dengan tipu-helahmu. Adakah Allah mempunyai kedai bawang? Aku tidak pernah meminta dari pada sesiapapun kecuali daripada Allah dan aku tidak menerima sesuatupun melainkan daripada Allah."

Suatu hari, Hassan al-Basri melihat Rabi'atul Adawiyyah dikelilingi oleh binatang liar yang memandangnya dengan kasih sayang. Apabila Hassan al-Basri menuju ke situ, binatang itu lari. Hassan bertanya, "Kenapa binatang itu lari?" Rabi'atul Adawiyyah kembali bertanya, "Apa kamu makan hari ini?" Hassan menjawab, "Daging." Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Oleh kerana kamu makan daging, mereka pun lari, aku hanya memakan roti kering."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmNKeT5pdI/AAAAAAAAAiQ/5rtjrHOsuHg/s200/welcome_14.png